23 September 2011

TAZKIRAH IMAM GHAZALI

Suatu hari, Imam al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya. Imam al-Ghazali bertanya (pertama): “Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?”
Murid-muridnya ada yang memberikan jawapan orang tua, guru, teman dan kerabatnya.
Imam Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar, tetapi yang paling dekat dengan kita adalah ‘mati’. Sebab itu sudah janji Allah s.w.t bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati. (lihat ayat 185, surah Ali-Imran)

Lalu Imam al-Ghazali meneruskan pertanyaan kedua: “Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?”
Murid-muridnya ada yang menjawab negara China, bulan, matahari dan bintang. Lalu Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan adalah benar, tetapi yang paling benar adalah ‘masa lalu.’
Walau hebat macam mana sekalipun kita, kita tidak boleh kembali kepada masa lalu. Oleh itu, kita harus menjaga hari ini dan hari akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran agama.

Lalu Imam al-Ghazali meneruskan dengan pertanyaan yang ketiga: “Apa yang paling besar di dunia ini?”
Ada muridnya yang menjawab gunung, bumi dan matahari. Semua jawapan itu benar, kata Imam al-Ghazali.
Tetapi katanya, yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah ‘nafsu’ (sila rujuk ayat 179 dari surah al-A’raaf).
Oleh itu, kita harus berhati-hati dengan nafsu, jangan sampai nafsu menjerumuskan diri ke lembah neraka.

Pertanyaan keempat: “Apa yang paling berat di dunia ini?” Ada yang menjawab baja, besi dan tidak kurang yang mengatakan gajah. Semua jawapan benar, kata Imam al-Ghazali tetapi yang paling berat adalah ‘memegang amanah.’ (lihat ayat 72, surah al-Ahzab)
Tumbuhan, haiwan, gunung malah malaikat juga semuanya tidak mampu ketika Allah s.w.t meminta mereka untuk menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah sehingga ramai manusia masuk ke neraka kerana tidak dapat memegang amanahnya.

Pertanyaan yang kelima: “Apa yang paling ringan di dunia ini?” Ada yang menjawab kapas, angin, debu dan dedaun. Semua itu benar, kata Imam al-Ghazali, tetapi yang paling ringan di dunia ini ialah ‘meninggalkan solat.’
Gara-gara pekerjaan malah keletihan, kita meninggalkan solat.

Pertanyaan keenam ialah: “Apakah yang paling tajam di dunia ini?” Murid-muridnya menjawab dengan serentak iaitu pedang.
Benar kata Imam al-Ghazali, tetapi menurutnya yang paling tajam ialah ‘lidah manusia.’ Ini kerana melalui lidah manusia dengan mudah menyakiti hati dan melukai perasaan rakan sendiri.

Sumber tazkirah:internet

No comments:

Post a Comment