23 May 2012

BERFIKIR REFLEKTIF


Oleh DR. SIDEK BABA


BERFIKIR reflektif banyak menghubungkan apa yang telah berlaku untuk dijadikan iktibar dan teladan. Berfikir reflektif ibarat melihat cermin dan dari situ terlihat banyak benda untuk dijadikan pedoman dan garis panduan. Seorang pemandu kereta apabila ingin berjalan ke hadapan harus melihat cermin sisi dan belakang supaya ia mendapat pedoman untuk bergerak ke hadapan. Berfikir reflektif tidak sekadar melihat apa yang ada di belakang atau di sisi tetapi ia sebagai asas pedoman melihat hari ini dan masa depan.

Para remaja merupakan kelompok yang terbaik dilatih dan diasuh berfikir secara reflektif. Dengan potensi yang sedang subur dan bakat untuk maju adalah tinggi, remaja harus berfikir reflektif untuk berubah dan bersedia menghadapi cabaran. Tidak mungkin para remaja mampu menghadapi cabaran hari depan tanpa menoleh ke belakang bagi meneliti perjalanan sejarah, jejak-jejak kemajuan dan perubahan supaya langkah hari depan di pedoman dengan pencapaian dan kegagalan pada masa yang lalu.

Asas-asas reflektif yang perlu ada pada remaja ialah mengetahui sejarah bangsa dan umat. Ia penting kerana sejarah boleh mengulangi jejak. Apa yang berlaku pada masa yang lalu boleh kembali semula pada masa kini dan masa depan. Yang berlaku pada masa lalu lazimnya serupa apa yang berlaku pada masa ini dan masa depan. Bezanya ialah cara sesuatu itu berlaku dan kesannya terhadap kehidupan manusia. Contohnya, ilmu pengetahuan dan pendidikan berlaku sejak awal kejadian manusia. Nabi Adam mempelajari sesuatu daripada Allah untuk mengetahui sesuatu di sekelilingnya . Darinya Nabi Adam dan Hawa mendapat pedoman bagaimana untuk hidup dan berinteraksi dengan yang lain. Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul terdahulu juga membawa risalah kebenaran tentang Allah kepada kaum dan umatnya. Ada yang menerima dan ada yang menolak. Pada hari ini Nabi Muhammad tidak ada dan ajarannya terus disampaikan kepada manusia. Ada yang menerima dan ada yang menolak.

Nabi Muhammad s.a.w. pada zamannya membina asas tamadun. Madinah dijadikan asas model bagaimana seharusnya Islam tegak dan beroperasi. Model itu dikembangkan oleh para sahabat, tabien dan solaf al soleh sehingga tercetusnya perubahan dan kemajuan. Dalam siri kebangkitan zaman Umayyah, Abassiyah, Andalusia dan Othmaniah, kita menyaksikan sejarah kebangkitan dan kemerosotan tamadun Islam. Berfikir reflektif tidak saja meneliti faktor-faktor yang memperkasa tamadun tetapi yang menyebabkan tamadun itu runtuh. Dengan cara itu para remaja akan mengetahui sebab-musabab berlaku sesuatu dan mengambil iktibar.

Renungan

Al-Quran terkandung kisah-kisah tentang kehidupan dan peristiwa yang di lalui oleh manusia pada masa yang lalu. Tentu ada sebab mengapa kisah-kisah itu dipaparkan kepada manusia yang berfikir. Berfikir reflektif menjadikan kisah itu sebagai ibrah atau sumber renungan, pemikiran dan teladan. Apa yang dilakukan oleh manusia pada hari ini bukanlah sesuatu yang baru atau tidak pernah ada pada masa yang lalu. Kegilaan manusia kepada kuasa, pangkat, darjat, hawa nafsu dan benda hingga lupakan diri dan melampaui batas berlaku pada masa yang lalu, diulangi kembali pada hari ini dan bakal terjadi pada masa depan. Kebaikan pada masa yang lalu akan terus diulangi sekiranya pedoman kebaikan itu dirasakan di kalangan mereka yang berfikir refklektif.

Berfikir reflektif adalah penting untuk membangunkan bangsa dan umat. Pada umat Melayu terhimpun khazanah silam yang boleh memberikan kesan reflektif terhadap jatuh bangun bangsanya. Kitab Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah umpamanya walaupun terkandung fakta dan mitos tetap terkandung elemen-elemen reflektif untuk renungan dan iktibar generasi terkemudian. Kisah Peminangan Puteri Gunung Ledang, walaupun dianggap mitos tetapi ia terkandung makna dan simbol tentang bagaimana nafsu serakah Raja Melayu terhadap kuasa dan cita-cita. Apabila nafsu bermaharajalela tunggulah kehancuran muncul. Apabila rakyat dijadikan hamba abdi dan nilai kemanusiaan hilang, berlakulah penjajahan terhadap bangsa dan negara.

Mitos ini boleh berlaku pada masa yang lalu dan berlaku pada masa kini dan boleh berlaku pada masa depan. Berfikir reflektif membolehkan remaja menganalisis sebab runtuhnya Kerajaan Melayu Melaka. Sejarah Melayu mengisahkan bagaimana di puncak kehebatan Melayu terdapat lapan puluh empat dialek atau bahasa diucapkan di pelabuhan atau di bazar-bazar di kota Melaka. Ia membayangkan majunya perdagangan di Melaka. Secara reflektif ia menunjukkan bahawa pentingnya kegiatan dagang dan membangunkan hubungan antarabangsa untuk maju.

Rasulullah s.a.w. pada zaman mudanya juga suka berniaga sehingga ke Yaman dan Syria. Baginda juga menyebutkan bahawa sembilan persepuluh sumber rezeki ialah dalam perniagaan. Para remaja harus reflektif bagaimana para pendakwah pada masa yang lalu ramai yang terdiri di kalangan pedagang-pedagang yang hebat. Dan bagaimana hari ini umat Islam lemah dan terpinggir kerana penglibatannya dalam dunia dagang amat kecil. Perhatikan bagaimana kuasa-kuasa Barat menguasai umat Islam dengan agenda multi-nasionalnya dan menguasai dunia dagang di negara orang-orang Islam.

Berfikir reflektif yang didorong dengan keinsafan mendalam tentang pra syarat untuk maju harus mendorong para remaja insaf tentang diri dan hari depan. Berfikir reflektif boleh mendorong remaja berfikir tentang baik-buruk sesuatu, tahu batasan boleh dan tidak boleh dan sering mengaitkan kisah dan peristiwa lalu sebagai jalan berfikir yang terbaik.

Remaja Islam dalam proses pembangunan minda dan kesedaran diri harus dekat dengan al-Quran sebagai pembekal kisah-kisah manusia masa lalu untuk dijadikan ibrah. Kedua, jadikan sirah perjuangan Nabi sebagai sumber sejarah dan sunah Nabi sebagai sumber ikutan. Ketiga bagaimana berfikir reflektif menjadikan kita berubah dan maju kerana apa yang berlaku pada masa lalu dalam banyak hal adalah sesuai dengan zamannya. Apa yang berlaku pada masa kini memerlukan pendekatan masa kini. Walaupun pendekatannya mungkin berbeza tetapi isu yang dihadapi tetap sama. Oleh itu berfikir reflektif membawa remaja kepada prinsip-prinsip yang Islami dan Qurani mampu diolah dengan metodologi kini tanpa menjejas kepentingan syarak yang menjadi pedoman utama umat Islam. Keempat bagaimana kemajuan yang ada pada umat dapat dipertahankan supaya umat Islam menjadi model yang terbaik untuk umat manusia.

Secara reflektif para remaja harus menginsafi bahawa tanpa asas ini, tidak mungkin umat Islam mampu memimpin dirinya apa lagi memimpin umat manusia. Sebaliknya kita akan dipimpin oleh mereka, dengan cara mereka dan akhirnya umat Islam akan menjadi sebahagian daripada mereka.

No comments:

Post a Comment