24 May 2012

IBU BAPA SALING BERKASIH PENGARUHI AKHLAK ANAK




IBU sering dirujuk sebagai faktor penting dalam pendidikan. Bapa tidak kurang penting membentuk anak dalam kepemimpinan. Bapa adalah lambang ketua dalam sebuah rumah tangga.Didikan ibu dan kepemimpinan bapa boleh memberi perlindungan kepada isteri dan contoh kepada anak.Menjadi suami adalah mudah. Perkahwinan boleh memberikan gelaran suami tetapi, menjadi seorang bapa adalah peranan yang payah.

Watak bapa tidak sama dengan watak ibu, tetapi Allah menjadikan mereka berpasang-pasang untuk melakukan peranan saling melengkapi.Bapa perlu insaf bahawa pada ibu ada peranan penting untuk membentuk watak anak. Ia bukan monopoli bapa tetapi menjadi tanggungjawab bersama.Semangat kebapaan perlu wujud dalam suasana keluarga. Kebapaan kepada ibu, meletakkan ibu dilihat sebagai sumber amanah.

Bapa harus berasakan bahawa ibu adalah amanah Allah yang besar. Ibu perlu dikasihi dan disayangi. Semangat kebapaan memberi perlindungan, tunjuk ajar, bimbingan dan rasa persefahaman dengan ibu. Ia bakal mewujudkan suasana rumah tangga harmoni dan damai.
Bapa tidak boleh mengatakan dia adalah segala-gala dalam rumah tangga. Perlu ada komunikasi dan persefahaman tinggi bahawa ibu bapa mempunyai tanggungjawab masing-masing dalam keluarga.

Konflik akan berlaku jika ego bapa menyebabkan ibu sering tersinggung dan kepemimpinan keluarga menjadi monopoli bapa.
Wujudkan suasana selesa dalam rumah. Pandangan ibu boleh didengar, pertanyaan anak boleh dijawab dan akhirnya bapa membuat pertimbangan serta keputusan terbaik sebagai ketua keluarga.Jika wujud pertelagahan antara bapa dan ibu, bapa harus mencari jalan penyelesaian saksama.Ego kebapaan jangan sampai si ibu memendam perasaan, takut memberi pendapat, sentiasa mengikut telunjuk bapa, bapa selamanya benar hingga menyebabkan ketegangan sering wujud dalam keluarga.

Bapa perlu menyedari dirinya tidak semua sempurna. Kekurangan tetap ada. Ia memerlukan pandangan ibu dan saluran perbincangan sentiasa terbuka. Keadaan ini akan memberikan suasana melegakan dalam rumah tangga apabila pandangan terbaik diambil bagi membantu bapa untuk membuat keputusan.Ada pengalaman bapa yang tidak ada pada ibu dan pengalaman mendidik yang dilakukan ibu, tidak ada pada bapa.

Selalunya banyak masa ibu bersama anak atau mengendalikan perjalanan rumah berbanding bapa. Seorang bapa yang baik selalu menginsafi bahawa fikiran ibu akan diminta dan keputusan dibuat untuk kebaikan keluarga dan anak adalah pertimbangan bersama.
Pada bapa ada sifat tegas dan tangkas. Anak perlu dilatih supaya memiliki watak tegas dan tangkas. Masalah anak hari ini adalah masalah ketiadaan disiplin dan kehilangan adab. Watak bapa yang tegas harus difokuskan untuk membangun disiplin anak.

Bapa perlu menjadi contoh kepada binaan disiplin ini. Jika bapa mahukan anaknya jangan merokok, bapa juga jangan merokok. Jika bapa mahukan anak menjadi berakhlak, awal pagi bapa perlu mengejutkan anak untuk bersolat Subuh dan menjadikan anak tidak lupa kepada waktu solat lain.

Bapa perlu mampu membentuk adab anak mengasihi ibu bapa dan orang tua. Menghormati jiran dan rakan taulan jadikan suatu amalan. Ada rasa malu terhadap perkara terlarang. Timbulkan kecintaan kepada amalan baik. Rasa malu terhadap perkara dosa seperti bercakap bohong, menganiaya manusia dan binatang, merosakkan harta awam dan berbangga terhadap sesuatu. Sifat kebapaan yang memiliki watak tegas boleh menjadikan anak terbiasa dengan disiplin dan kelaziman hidup yang santun.

Bapa juga perlu menjadikan anaknya tangkas. Ketangkasan tidak hanya terlihat pada aktiviti jasmani tetapi ketangkasan berfikir.

Bapa perlu berbincang dan berkomunikasi dengan anak. Anak yang rajin bertanya memberi kesan baik ke arah ketangkasan berfikir. Anak yang kelihatan lembik pada fizikal dan lemah upaya berfikir adalah akibat tiadanya suasana di rumah yang boleh merangsang ke arah itu.
Disiplin tinggi, adab baik, ketangkasan fizikal dan pemikiran adalah kunci membangun anak yang baik. Bapalah sepatutnya berperanan membentuk watak sedemikian.

Kegagalan anak dewasa ini akibat daripada kealpaan bapa memberikan bimbingan dan asuhan hingga ibu melakukan segala-galanya dan bapa hanya bertugas mencari nafkah.
Perlu diinsafi bahawa rumah tangga adalah tapak utama untuk asuhan dan didikan berlaku. Apa yang berlaku dalam keluarga bakal mencorakkan kejayaan anak di sekolah.

Keciciran anak di rumah kerana kealpaan bapa dan ibu menyebabkan keciciran anak di sekolah. Keciciran di sekolah boleh membawa keciciran dalam masyarakat.

Bapa perlu sentiasa berasakan ibu adalah harta didik yang sangat berkesan kepada anak. Menyayangi dan melindungi ibu seumpama mengasihi anak kerana ibu yang jiwanya tenang dan dikasihi bapa akan sentiasa memiliki kekuatan melaksanakan tanggungjawab mendidik.

Bapa hendaklah memberikan masa berkualiti tidak saja di tempat kerja tetapi kepada isteri dan anak.

Pada bapa ada hak isteri terhadapnya dan hak anak terhadapnya. Jika hak ini disempurnakan oleh bapa sebaiknya, rumah tangga dan keluarga akan menjadi bahagia dan contoh terbaik kepada orang lain.

Apabila bapa melihat ibu adalah aset dan anak adalah harta, akan wujud perimbangan daripada sudut peranan dan tanggungjawab. Wang ringgit bukanlah segala-galanya untuk dicari. Jika fokus tidak diberi bapa untuk membantu ibu mendidik anak, maka kemungkinan keluarga ’kehilangan anak’ boleh berlaku.

Bayangkan jika bapa tidak melakukan peranan dan tanggungjawabnya menyebabkan anak terjebak dengan amalan salah guna dadah, ia tidak boleh ditebus dengan wang ringgit lagi. Nasi sudah menjadi bubur.

Anak yang terbabit dengan dadah adalah beban kepada keluarga dan negara.

Begitu juga anak yang terbabit dalam kerosakan akhlak disebabkan tidak wujudnya suasana contoh di rumah. Keluarga menjadi tempat tidak selesa membentuk watak dan akhlaknya.

Bapa hanya sibuk di tempat kerja atau mencari duit tambahan. Anak menjadi terbiar. Percampuran dengan rakan sebaya adalah tinggi. Akhirnya anak terjebak dengan amalan negatif dan sukar untuknya berpatah ke pangkal jalan.

Bapalah watak penting yang perlu bertanggungjawab terhadap ibu dan anak. Jika peranan itu berjalan dengan baik dan saksama, ibu menjadi manusia paling gembira dan anak menjadi anggota keluarga yang amat berbahagia.

...ISLAM  IMAN  EHSAN...

BERFIKIR REAKTIF


Oleh DR. SIDEK BABA


REAKTIF bermaksud tindak balas terhadap sesuatu yang berlaku. Sesuatu yang berlaku menyebabkan manusia terusik dan melakukan tindakbalas. Tindak balas yang berlaku selalunya bersifat spontan tanpa pemikiran dan kajian yang mendalam. Sikap reaktif selalunya berkait rapat dengan keadaan emosi seseorang.

Sekiranya emosi seseorang tidak stabil, tindak balas akan menjadikan keadaan atau sesuatu itu tidak stabil. Kalau emosinya resah dan kacau jalan berfikirnya penuh dengan kekacauan. Faktanya mungkin tidak lengkap. Analisisnya tidak tepat. Kesimpulan yang diambil juga tidak membayangkan adanya pemikiran yang mendalam terhadap sesuatu isu atau perkara.

Berfikir reaktif boleh membawa kepada kegopohan. Berfikir dalam suasana gopoh boleh menyebabkan kesilapan berlaku. Orang yang berfikir reaktif cepat membuat kesimpulan. Kadang-kadang mengambil pendekatan menghukum lebih daripada pendekatan memahami mengapa ia berlaku, bagaimana mengatasinya dan faktor-faktor apa yang boleh memberikan alternatif terhadap isu atau masalah yang berbangkit.

Berfikir reaktif menjadikan sesuatu keputusan yang dibuat dalam keadaan tidak masak atau separuh masak. Ia kadang-kadang membudaya pada diri seseorang. Bila menghadapi sesuatu masalah, mendepani sesuatu isu, mengalami sesuatu kebuntuan, ia tidak berfikir secara kritikal, strategik ataupun kreatif sebaliknya melakukan sesuatu berasaskan apa yang terlintas pada minda dan emosi dan kadang-kadang ledakan minda dan emosi menyebabkan keadaan menjadi lebih bercelaru.

Dalam tradisi Islam kestabilan minda dan celik emosi adalah asas yang sangat penting bagi seseorang manusia. Cerdas akal saja tidak cukup. Ia memerlukan kecelikan emosi (emotionally literate) untuk mengenal, memahami, membuat pertimbangan yang terbaik supaya penyelesaian kepada masalah dan jawapan terhadap isu berada di tahap yang terbaik. Ajaran Islam memberitahu kita sekiranya kita mendapat perkhabaran daripada orang yang fasik, sila periksa terlebih dahulu sama ada perkhabaran itu benar atau salah.

Rasulullah s.a.w. apabila menerima perintah Allah untuk berpindah dari Mekah ke Madinah, baginda tidak bersifat emosional atau reaktif. Sebaliknya Rasulullah merancang strategi bijaksana hingga akhirnya baginda selamat sampai ke Madinah.

Para remaja pada tahap umur muda berada dalam tahap kesuburan emosi yang tinggi dan idealisme yang hebat. Kesuburan emosi yang tidak diimbangi dengan ilmu dan pengalaman boleh menyebabkan remaja bersikap reaktif dan kadang-kadang melampaui batas. Idealisme yang hebat kadang-kadang menjadikan remaja mendekati sesuatu isu secara hitam putih. Lalu jalan mudah adalah menghukum dan melakukan labelling atau mengecap seseorang dengan sesuatu yang jelik. Kepuasan emosi yang sifatnya amarah menjadi kepuasan baginya tetapi jelik bagi orang lain.

Tidak salah remaja membina idealisme dalam hidupnya. Hasil berfikir, membaca dan memerhati, remaja tidak dapat mengelakkan diri daripada bersikap ideal. Jiwa berontak yang ada pada remaja kadang-kadang menuntut jalan keluar dan alternatif yang gopoh. Tetapi idealisme yang ada pada remaja harus diimbangi dengan keupayaan memahami realiti. Realiti adalah medan sebenar remaja membaca masalah, mengkaji isu, meneliti sebab-musabab dan memikirkan jalan keluar yang terbaik dan bijaksana. Remaja tidak hanya bersikap reaktif lalu keputusan yang dibuat selalunya bersikap melulu dan membawa akibat yang sebaliknya.

Menjadikan idealisme sebagai sumber memahami faktor-faktor dalam realiti sebagai asas memahami masalah, ia membolehkan remaja bersikap matang dan dewasa. Kematangan dan kedewasaan di sini merujuk kepada kekuatan ilmu, analisis yang tepat dan keputusan yang berwibawa. Menjadikan realiti sebagai asas tanpa didukung oleh idealisme, ia boleh menyebabkan keputusan kehilangan arah.

Ibarat bunga kiambang

Idealisme dan realiti ibarat bunga kiambang yang cantik di permukaan tetapi akarnya tidak terjunam pada lumpur. Bila ditolak arus ia mungkin hanyut. Pemikiran remaja yang reaktif juga boleh berlaku sedemikian. Idealisme yang tinggi tanpa pedoman memahami realiti boleh mendorong para remaja berfikir emosional dan gopoh.

Para remaja harus menjadi seorang yang idealis sekali gus realis, baru pedoman terbaik dalam pemikiran memandu remaja ke arah memahami realiti. Hal yang sama juga perlu dalam konteks seorang remaja yang realis atau terpikat dengan aliran realiti yang harus juga memiliki idealisme yang baik supaya ia memiliki pedoman dan arah.

Para remaja adalah tenaga yang berpotensi untuk membangun negara. Salah satu cabaran yang bakal dihadapi oleh remaja adalah menghubungkan nilai-nilai baik dengan realiti yang serba bejat atau pincang. Remaja tidak boleh mengelak diri daripada menghadapi faktor hidup dan kehidupan yang dinamik berubah. Remaja juga adalah tenaga modal insan yang amat berpotensi bagi menentukan hala tuju pembangunan umat yang lebih terarah.

Reflektif terhadap kehebatan tamadun silam semata-mata tidak memadai untuk membuat kesimpulan mengapa umat Islam hari ini tidak menjadi hebat seperti yang berlaku pada masa yang lalu. Kalau dulu boleh mengapa hari ini tidak boleh. Lalu, para remaja cuba menggunakan berfikir reaktif iaitu menghukum realiti hari ini dengan mengambil contoh masa silam.

Contoh masa silam memenuhi prasyarat yang diperlukan untuk membina tamadun. Ketika puncak tamadun silam, ulama dan umara’ (pemimpin) melakukan sinergi atau kerjasama erat, ilmuan meneroka dan membangunkan ilmu yang sifatnya integratif, tradisi pengkaryaan berkembang dalam keadaan yang luar biasa dan keterbukaan untuk belajar daripada sumber-sumber tamadun yang bermanfaat daripada orang lain.

Tetapi realiti hari ini dalam dunia Islam tidak begitu. Berfikir reaktif terhadap apa yang ada dengan menghubungkan kekuatan silam yang memenuhi prasyarat tamadun menyebabkan kita mengambil pendekatan hitam putih dan ia tidak membawa kita ke mana-mana.

Para remaja harus mempersiapkan diri dengan ilmu. Ilmu Barat dan Timur yang berkembang harus dipelajari. Ada faedah berbanding yang boleh diambil daripada sumber-sumber tersebut. Islam tidak mengambil sikap anti-Barat semata-mata kerana mereka adalah Barat. Umat Islam harus hati-hati tentang proses pembaratan yang sedang berjalan. Berfikir reaktif menyebabkan apa saja yang berlaku di Barat menjadi contoh kepada kita. Ia meletakkan diri kita sebagai umat pengguna bukan umat penyumbang. Berfikir reaktif di kalangan remaja menjadikan ukuran Barat sesuatu yang hebat.

Pakaian cara Barat melambangkan kemajuan dan kemodenan. Hiburan cara Barat boleh menghilangkan resah dan tekanan diri. Malah terdapat remaja yang menganggap Islam sebagai kolot, menyekat kemajuan dan tidak maju seperti Barat maju. Untuk menjadi maju, remaja mesti berfikiran liberal, harus memerdekakan diri dari belenggu agama supaya hidup lepas bebas menjadikan remaja maju. Ini sikap reaktif melulu yang menyebabkan remaja Islam terus terjebak dengan perangkap pembaratan dalam pelbagai bentuk dan dimensi.

Tidak celik hati

Memberi reaksi terhadap sesuatu perkara adalah baik. Ramai di kalangan remaja pada hari sudah mewarisi penyakit mati rasa dan tidak celik hati. Akalnya mungkin cerdas tetapi hatinya tidak celik. Ia menyebabkan sebahagian dari remaja membina gaya hidup dengan mengikut arus, dibelenggu oleh perkembangan fesyen, memperagakan bakat dan kebolehan secara negatif dan akhirnya tidak menyumbang apa-apa untuk pembangunan diri dan juga masyarakat. Sebahagiannya menjadi beban kepada negara.

Reaktif terhadap sesuatu mestilah diikuti dengan pemahaman yang baik terhadap punca, sebab dan jalan mengatasinya. Pendekatan sebegini boleh menjadikan remaja tidak gopoh dalam membuat sesuatu keputusan atau kesimpulan.

Mereka juga sentiasa dipandu oleh data dan fakta, pemahaman yang baik antara idealisme dan realiti, memiliki pemikiran strategik dan reflektif mendekati sesuatu masalah dan akhirnya mempunyai perancangan yang rapi dan teliti bagaimana sesuatu isu dapat ditangani dengan bijaksana dan sesuatu masalah dapat diselesaikan dengan baik. Inilah asas pemikiran proaktif yang patut dikembangkan di kalangan remaja.

SURVIVAL TIPS FOR PARENTS By Dr.Harlina Siraj


SURVIVAL TIPS FOR PARENTS : Tip no. 34 - Teach your kids about principles of life such as honesty is the best policy, respecting others, be thankful & grateful to those who have helped etc. Principles remain to be the virtues of life. Train your children to keep to their promises, to be truthful and to accomplish what is expected from them. Lead a principle-centered life every day.


SURVIVAL TIPS FOR PARENTS : Tip no. 38 - Train your children to comply to the Quranic teachings. Teach them about verse 23 & 24, Surah Al-Isra' (Chapter 17) before it's too late. Allah wants them to be respectful & kind in their conducts towards you. They must not raise their voice while talking to you or dismiss you by simply saying ; Ahh! They must choose the best words in conversations with you. They must never forget to pray for you. As liberal & friendly as you are as a parent, stick to this principle!


SURVIVAL TIPS FOR PARENTS : Tip no. 42 - Pray to Allah for assistance and strength in carrying out your duties as parents. If you're adopting a child into your family, pray that he/she will add more blessings and colours to your everyday life. Ask Allah SWT to open your heart so that you can accommodate as many children in it - not only meant for your own flesh & blood.

DARJAT DAN MARTABAT MAKHLUK DI AKHIRAT

Peringkat tertinggi yang berada di dalam Syurga adalah mengikut urutan berikut

  1. Ulul 'Azmi
  2. Nabi dan Rasul
  3. Para Nabi yang tidak tercantum di dalam Al Quran
  4. Pewaris para Rasul dan pengganti mereka dikalangan umatnya masing-masing(Siddiqin)
  5. Para pemimpin yang adil
  6. Para pejuang di jalan Alllah(Mujahid)
  7. Manusia yang paling bermanafaat kepada manusia lainnya(Ahlul Itsar)
  8. Orang-orang yang Allah bukakan pintu-pintu kebaikkan yang banyak
  9. Golongan yang selamat(Ahlun Najat)
  10. Orang-orang yang dikurniakan taubat sebelum kematiannya
  11. Orang-orang yang kadangkala berbuat kebaikkan  dan kadangkala berbuat kejahatan
  12. Orang-orang yang amal kebaikannya sama berat atau setarafdengan amal kejahatannya
  13. Orang-orang yang penuh dengan kemaksiatan dan ringan timbangan kebaikannya 
  14. Manusia yang tidak memiliki keimanan dan tidak pula ketaatan,tiada kemaksiatan dan tiada amal  soleh
Peringkat yang kekal di Neraka

    15.  Orang-orang Munafik
    16.  Pemimpin -pemimpin kafir
    17.  Orang-orang musyrik
    18.  Golongan jin yang kafir

Hasil ijtihad Imam Ibnu Qayyim Al Jauziyah 
(Kitab Thaqabatul MukallafinWa Maratibuhum Fiel Akhirah)





...ISLAM  IMAN  EHSAN...




23 May 2012

BERFIKIR REFLEKTIF


Oleh DR. SIDEK BABA


BERFIKIR reflektif banyak menghubungkan apa yang telah berlaku untuk dijadikan iktibar dan teladan. Berfikir reflektif ibarat melihat cermin dan dari situ terlihat banyak benda untuk dijadikan pedoman dan garis panduan. Seorang pemandu kereta apabila ingin berjalan ke hadapan harus melihat cermin sisi dan belakang supaya ia mendapat pedoman untuk bergerak ke hadapan. Berfikir reflektif tidak sekadar melihat apa yang ada di belakang atau di sisi tetapi ia sebagai asas pedoman melihat hari ini dan masa depan.

Para remaja merupakan kelompok yang terbaik dilatih dan diasuh berfikir secara reflektif. Dengan potensi yang sedang subur dan bakat untuk maju adalah tinggi, remaja harus berfikir reflektif untuk berubah dan bersedia menghadapi cabaran. Tidak mungkin para remaja mampu menghadapi cabaran hari depan tanpa menoleh ke belakang bagi meneliti perjalanan sejarah, jejak-jejak kemajuan dan perubahan supaya langkah hari depan di pedoman dengan pencapaian dan kegagalan pada masa yang lalu.

Asas-asas reflektif yang perlu ada pada remaja ialah mengetahui sejarah bangsa dan umat. Ia penting kerana sejarah boleh mengulangi jejak. Apa yang berlaku pada masa yang lalu boleh kembali semula pada masa kini dan masa depan. Yang berlaku pada masa lalu lazimnya serupa apa yang berlaku pada masa ini dan masa depan. Bezanya ialah cara sesuatu itu berlaku dan kesannya terhadap kehidupan manusia. Contohnya, ilmu pengetahuan dan pendidikan berlaku sejak awal kejadian manusia. Nabi Adam mempelajari sesuatu daripada Allah untuk mengetahui sesuatu di sekelilingnya . Darinya Nabi Adam dan Hawa mendapat pedoman bagaimana untuk hidup dan berinteraksi dengan yang lain. Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul terdahulu juga membawa risalah kebenaran tentang Allah kepada kaum dan umatnya. Ada yang menerima dan ada yang menolak. Pada hari ini Nabi Muhammad tidak ada dan ajarannya terus disampaikan kepada manusia. Ada yang menerima dan ada yang menolak.

Nabi Muhammad s.a.w. pada zamannya membina asas tamadun. Madinah dijadikan asas model bagaimana seharusnya Islam tegak dan beroperasi. Model itu dikembangkan oleh para sahabat, tabien dan solaf al soleh sehingga tercetusnya perubahan dan kemajuan. Dalam siri kebangkitan zaman Umayyah, Abassiyah, Andalusia dan Othmaniah, kita menyaksikan sejarah kebangkitan dan kemerosotan tamadun Islam. Berfikir reflektif tidak saja meneliti faktor-faktor yang memperkasa tamadun tetapi yang menyebabkan tamadun itu runtuh. Dengan cara itu para remaja akan mengetahui sebab-musabab berlaku sesuatu dan mengambil iktibar.

Renungan

Al-Quran terkandung kisah-kisah tentang kehidupan dan peristiwa yang di lalui oleh manusia pada masa yang lalu. Tentu ada sebab mengapa kisah-kisah itu dipaparkan kepada manusia yang berfikir. Berfikir reflektif menjadikan kisah itu sebagai ibrah atau sumber renungan, pemikiran dan teladan. Apa yang dilakukan oleh manusia pada hari ini bukanlah sesuatu yang baru atau tidak pernah ada pada masa yang lalu. Kegilaan manusia kepada kuasa, pangkat, darjat, hawa nafsu dan benda hingga lupakan diri dan melampaui batas berlaku pada masa yang lalu, diulangi kembali pada hari ini dan bakal terjadi pada masa depan. Kebaikan pada masa yang lalu akan terus diulangi sekiranya pedoman kebaikan itu dirasakan di kalangan mereka yang berfikir refklektif.

Berfikir reflektif adalah penting untuk membangunkan bangsa dan umat. Pada umat Melayu terhimpun khazanah silam yang boleh memberikan kesan reflektif terhadap jatuh bangun bangsanya. Kitab Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah umpamanya walaupun terkandung fakta dan mitos tetap terkandung elemen-elemen reflektif untuk renungan dan iktibar generasi terkemudian. Kisah Peminangan Puteri Gunung Ledang, walaupun dianggap mitos tetapi ia terkandung makna dan simbol tentang bagaimana nafsu serakah Raja Melayu terhadap kuasa dan cita-cita. Apabila nafsu bermaharajalela tunggulah kehancuran muncul. Apabila rakyat dijadikan hamba abdi dan nilai kemanusiaan hilang, berlakulah penjajahan terhadap bangsa dan negara.

Mitos ini boleh berlaku pada masa yang lalu dan berlaku pada masa kini dan boleh berlaku pada masa depan. Berfikir reflektif membolehkan remaja menganalisis sebab runtuhnya Kerajaan Melayu Melaka. Sejarah Melayu mengisahkan bagaimana di puncak kehebatan Melayu terdapat lapan puluh empat dialek atau bahasa diucapkan di pelabuhan atau di bazar-bazar di kota Melaka. Ia membayangkan majunya perdagangan di Melaka. Secara reflektif ia menunjukkan bahawa pentingnya kegiatan dagang dan membangunkan hubungan antarabangsa untuk maju.

Rasulullah s.a.w. pada zaman mudanya juga suka berniaga sehingga ke Yaman dan Syria. Baginda juga menyebutkan bahawa sembilan persepuluh sumber rezeki ialah dalam perniagaan. Para remaja harus reflektif bagaimana para pendakwah pada masa yang lalu ramai yang terdiri di kalangan pedagang-pedagang yang hebat. Dan bagaimana hari ini umat Islam lemah dan terpinggir kerana penglibatannya dalam dunia dagang amat kecil. Perhatikan bagaimana kuasa-kuasa Barat menguasai umat Islam dengan agenda multi-nasionalnya dan menguasai dunia dagang di negara orang-orang Islam.

Berfikir reflektif yang didorong dengan keinsafan mendalam tentang pra syarat untuk maju harus mendorong para remaja insaf tentang diri dan hari depan. Berfikir reflektif boleh mendorong remaja berfikir tentang baik-buruk sesuatu, tahu batasan boleh dan tidak boleh dan sering mengaitkan kisah dan peristiwa lalu sebagai jalan berfikir yang terbaik.

Remaja Islam dalam proses pembangunan minda dan kesedaran diri harus dekat dengan al-Quran sebagai pembekal kisah-kisah manusia masa lalu untuk dijadikan ibrah. Kedua, jadikan sirah perjuangan Nabi sebagai sumber sejarah dan sunah Nabi sebagai sumber ikutan. Ketiga bagaimana berfikir reflektif menjadikan kita berubah dan maju kerana apa yang berlaku pada masa lalu dalam banyak hal adalah sesuai dengan zamannya. Apa yang berlaku pada masa kini memerlukan pendekatan masa kini. Walaupun pendekatannya mungkin berbeza tetapi isu yang dihadapi tetap sama. Oleh itu berfikir reflektif membawa remaja kepada prinsip-prinsip yang Islami dan Qurani mampu diolah dengan metodologi kini tanpa menjejas kepentingan syarak yang menjadi pedoman utama umat Islam. Keempat bagaimana kemajuan yang ada pada umat dapat dipertahankan supaya umat Islam menjadi model yang terbaik untuk umat manusia.

Secara reflektif para remaja harus menginsafi bahawa tanpa asas ini, tidak mungkin umat Islam mampu memimpin dirinya apa lagi memimpin umat manusia. Sebaliknya kita akan dipimpin oleh mereka, dengan cara mereka dan akhirnya umat Islam akan menjadi sebahagian daripada mereka.

BERFIKIR PROAKTIF


Oleh DR. SIDEK BABA


BERFIKIR proaktif ialah suatu kemahiran berfikir secara positif yang melibatkan perancangan teliti dan rapi supaya hasilnya menjadi. Berfikir proaktif tidak saja respons kepada sesuatu masalah yang dihadapi tetapi difikirkan bagaimana sesuatu masalah itu dapat dileraikan dan jalan keluarnya dicari. Sesuatu masalah tidak hanya dilihat sebagai masalah, ia dikaji dan diteliti sebab-musababnya, dicari jalan keluarnya dan diberi alternatifnya.

Seorang remaja umpamanya, mengalami masalah kenakalan, merosakkan harta awam adalah remaja yang bermasalah. Berfikir proaktif membawa seseorang mendekati remaja itu, melakukan komunikasi dan nasihat, mendengar masalah dan rintihannya, menawarkan jalan keluar, berkawan dengannya dan akhirnya remaja itu mungkin kembali semula ke jalan yang baik.

Seorang pelajar yang bosan untuk belajar kerana perpecahan dalam keluarga didekati oleh rakan yang prihatin, memberikannya galakan dan nasihat, membantunya dalam kerja-kerja sekolah, berkawan dengannya dan akhirnya pelajar itu yakin semula tentang pentingnya ilmu dan pendidikan.

Seorang remaja lain yang baru belajar menghisap rokok, didampingi oleh sahabat baiknya dengan nasihat yang berterusan supaya menghentikan rokok dengan menyatakan akibat buruk merokok secara perlahan-lahan dapat diselamatkan akibat terpengaruh dengan rakan yang lain.

Semua perbuatan baik yang dinyatakan di atas adalah langkah proaktif yang dilakukan supaya suatu keadaan yang mulanya tidak baik bertukar menjadi baik semula. Berfikir ke arah sesuatu yang positif, pembaikan dan penyelesaian dikatakan sebagai berfikir proaktif.

Dalam tradisi Islam, berfikir proaktif adalah sesuatu yang amat digalakkan. Rasulullah s.a.w. dalam usaha dakwah awalnya di Mekah, mendekati bapa saudaranya Abu Talib untuk menyatakan kebenaran terhadap Islam sebagai agama tauhid.

Rasulullah tidak saja melihat bapa saudaranya sebagai seseorang yang mempunyai hubungan darah tetapi yang lebih utama bagaimana bapa saudaranya boleh kembali menganut ajaran yang benar dan diredai Allah.

Tugasnya sebagai daie atau pendakwah adalah tanggungjawab yang utama, Pemberi hidayah adalah kerja yang Maha Berkuasa. Ikhtiar adalah usaha manusia, membukakan hatinya untuk menerima Islam adalah kerja Allah s.w.t.

Muaz bin Jabal apabila ingin dihantar oleh Rasulullah sebagai Gabenor ke Yaman ditanya oleh baginda tentang bagaimana urusan kenegaraan dapat dilakukan dengan baik.

Muaz bin Jabal mengatakan bahawa akan menggunakan al-Quran sebagai sumber utama. Kalau tidak ada di dalam al-Quran, ia akan menggunakan sunah Rasulullah s.a.w. dan kalau tidak ada sunah Rasulullah, ia akan mengggunakan ijtihad. Rasulullah amat berpuas hati dengan kenyataan Muaz itu. Itulah pemikiran proaktif yang dimiliki oleh seorang Gabenor dalam mengurus negara Yaman.

Remaja Islam harus memiliki upaya berfikir secara proaktif yang tinggi. Para remaja hari ini sering berdepan dengan berbagai cabaran sama ada yang berkaitan dengan cita-cita, perasaan, tekanan hidup, keremajaan, pergaulan apalagi percintaan. Berfikir proaktif boleh membimbing remaja supaya tidak hilang pedoman apabila berdepan dengan cabaran dan masalah, bersikap positif terhadap sesuatu perkara yang berlaku walaupun ia pedih dan pahit dan sentiasa memikirkan jalan penyelesaian kepada masalah.

Berfikir

Tanpa memiliki upaya berfikir yang proaktif, para remaja boleh buntu dalam berdepan dengan sesuatu masalah, hilang pedoman bila menghadapi kebuntuan atau melakukan sesuatu tanpa banyak pertimbangan hingga menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk. Jalan keluar kepada sesuatu masalah tidak ada dan akhirnya kebinasaan yang ditempa.

Sebelum melakukan sesuatu remaja harus terlebih dahulu memikirkan buruk baiknya sesuatu. Ada ketikanya akibat dorongan naluri dan nafsu remaja melakukan sesuatu kerana ingin mencuba, hasrat yang meluap-luap, terpengaruh dengan rakan sebaya atau ingin melepaskan rasa kekecewaan dan kehampaan terhadap sesuatu.

Akhirnya para remaja terjebak dengan amalan salahguna dadah atau pergaulan yang lepas bebas. Akibatnya para remaja hilang arah dan buntu mencari jalan kembali. Bila ini berlaku remaja merasa lazat dan seronok yang sementara dan akhirnya timbul ketagihan yang berkekalan dan akan membawa akibat buruk terhadap diri remaja.

Sebelum mengambil dadah atau terjebak dalam pergaulan yang lepas bebas, remaja harus berfikir dulu tentang baik-buruknya perbuatan tersebut.

Banyak bukti dan banyak musibah yang boleh disaksikan tentang betapa bahayanya dadah dan pergaulan yang lepas bebas. Sebab itulah para remaja Islam perlukan asas agama dan akhlak supaya mereka memiliki benteng dan sempadan memilih yang buruk atau pun yang baik. Tanpa asas agama dan pertimbangan akhlak para remaja mudah terjebak dengan amalan salah laku.

Berfikir proaktif harus dikaitkan dengan nilai syarak. Maksud kepada peraturan syarak ialah untuk menjaga agama, maruah, akal fikiran, harta dan juga keturunan.

Sekiranya remaja kita berfikir secara syarie iaitu mematuhi hukum-hakam Allah, ia berkait rapat dengan maslahah atau kepentingan remaja sendiri. Islam tidak menyekat para remaja untuk bergaul.

Berfikir secara syarie dan proaktif membawa remaja berfikir bahawa ditahap remaja yang nafsunya meluap-luap, tanpa batasan pergaulan boleh mendorong perkara-perkara yang tidak baik.

Islam mengambil pendekatan pencegahan lebih baik dari mengubati. Sekiranya sesuatu telah terjadi, selalunya payah untuk dihentikan atau diubati. Nafsu-nafsi sudah menguasai diri dan pertimbangan akal tidak memberi makna apa-apa. Yang dipentingkan ialah kesedapan dan kelazatan yang sementara.

Berfikir proaktif secara syarak boleh membawa remaja berfikir di sebalik batasan hukum dan halangan syarak ada hikmah besar iaitu bagi menjaga maslahah remaja supaya tidak terjebak dengan perangkap nafsu nafsi yang kadang-kadang tidak mengenal batasan akibat.

Remaja Islam yang berfikir proaktif sentiasa mengatur jalan hidupnya secara terancang. Apabila bercita-cita tinggi ia membangunkan cita-citanya dengan usaha dan kesungguhan, dengan perancangan dan persiapan dan akhirnya cita-cita itu dapat dipenuhi.

Cabaran

Apabila berdepan dengan cabaran, ia tidak mudah putus asas. Dicarinya jalan bagaimana cabaran dapat diatasi dan jalan cita-cita tetap dilalui. Apabila bertemu kegagalan, ia tidak putus harap sebaliknya terus berusaha memperbaiki keadaan, membina strategi bijaksana supaya cita-cita tetap dipenuhi.

Remaja yang berfikir proaktif akan sentiasa mempunyai jalan keluar dalam hidup. Ia tidak mudah buntu dalam menghadapi kerenah hidup. Ia tidak mudah putus asa apabila menghadapi kegagalan.

Kerenah hidup baginya adalah pengalaman yang berguna dan kegagalan adalah ujian yang perlu dilalui. Sikap proaktif menjadikan remaja tetap yakin bahawa dihujung terowong akan ada cahaya yang menanti.

Dihujung setiap usaha akan ada hasilnya. Dan dihujung cita-cita akan ada kejayaannya. Tanpa berfikir proaktif remaja akan tewas sebelum perjalanan sampai dan remaja akan terjebak dalam belitan hidup sehingga tidak mampu melepaskan diri lagi. Berfikir proaktiflah yang boleh membantu remaja memilih jalan yang baik atau sebaliknya.

PERBEZAAN ANTARA AL QURAN,HADIS NABAWI DAN HADIS QUDSI

1.AL QURAN

  • Lafaz dan makna daripada Allah SWT
  • Sumber hukum yang pertama dalam perundangan Islam

2.HADIS NABAWI
  • Lafaz dan makna daripada Rasulullah SAW
  • Sumber hukum yang kedua selepas Al Quran

3.HADIS QUDSI
  • Lafaz daripada Rasulullah SAW
  • Maknanya daripada Allah SWT

WANITA PENCETUS INSPIRASI




Siapakah Profesor Dr.Muhaya Mohammed?

Beliau adalah seorang pembuka minda para wanita.Beliau mengajar melihat sesuatu
dengan mata hati menerusi mata lahiriah.Beliau seorang yang sangat kuat hubungan dengan
Allah.Mempunyai personaliti dan karisma seperti beliau adalah impian kebanyakkan muslimah.
Ucapan beliau dari hati yang ikhlas,suci murni,wajarlah beliau digelar Wanita Pencetus Inspirasi
dewasa ini.
(*Prof Muhaya seorang Pakar Mata di Prince Court Medical Centre KL)

INSPIRASI DARIPADA PROF DR MUHAYA 4


1.Jika kita payah memaafkan dan sentiasa melihat kesalahan cuba audit kesalahan kita pada orang dan adakah kita mahu orang memaafkan kita. Kita hanya akan dapat apa yg kita buat. Dosa dengan manusia yang payah kita nak bawa diakhirat nanti. Jika kita maafkan orang Allah akan buka hati orang maafkan kita, alangkah tenang kita bila tak banyak dosa dgn orang lain. Dosa dgn Allah boleh taubat nasuha tapi dgn manusia harus mereka maafkan kita. Jika hati kita keras agaknya kita dekat dgn neraka atau syurga, Allah sayang atau Allah murka. Malu pada diri ini yg penuh dosa dan hentikan fokus kesalahan orang pada kita tapi fokus kesalahan kita pada orang utk elak kita bajet bagus

2.Setiap orang dari kita dikurniakan kehebatan oleh Allah swt . Hidup dengan kesedaran ini dan fikirkan apa kita boleh buat untuk memberi faedah kepada makhluk Allah. Setiap tindakan kita akan membina atau merusakkan sesuatu. Fikir yang mana satu sedang berlaku setiap kali kita bertindak dalam apa saja situasi.

3.Amalan orang yang masuk syurga tanpa hisab, 1. Apabila dikasari mereka memaafkan, apabila orang memperbodohkan mereka, mereka sabar, madrasah akhlak, tv hijrah. Juga mereka sabar membuat ketaatan dan sabar menahan diri dari maksiat. Jom sama kita belajar sifat sabar dan maafkan semua orang sebelum tidur malam ini.

4.Hari ini hargai diri kita dan insyaAllah kita akan.mula hargai orang lain. Kita adalah ciptaan Allah paling sempurna sebagai insan. Mana boleh tidak berharga. Begitu juga manusia lain. Jom saling menghargai dan menghormati. Mula dengan senyuman dan perasaan kasih sayang kepada semua orang yg kita jumpa hati ini dan lihat bagaimana hari berubah dari hari lain.

5.Tidur awal sebelum 12 amat baik. Kualiti tidur satu jam sebelum midnight sama seperti dua jam lepas midnight.

6.Jom kita tiru sifat pemaaf Rasululullah saw. Niat berakhlak mulia sebagai mengikut sunnah bukan hanya adat atau budaya. Jika kitabpayah memaafkan bayangkan betapa jauhnya kita dari redha Allah

7.Malam ini sebelum tidur, refleksi diri dan audit semua amalan dan bayangkan hari yg lebih baik esuk hari. Maafkan semua orang dan minta maaf pada suami dan isteri kita.

8.Bila kita murnikan semua usaha kita insyaAllah semua akan berjalan dgn baik

9.Beruntunglah mereka yang tamak pada ilmu dan keampunan Allah

10.Takrif ibadah- nama yg melengkapi 4 perkara 1. Lisan-yg mengzahirkan apa dalam hati 2. Kata dalam hati- iktikad dalam hati , 3. Amalan hati- mahabbah- cinta Allah, tawakkal, 4. Amal anggota- kerja dgn anggota eg solat, bantu orang. Tanya apakah ia terbit dari hati yg ikhlas. Jika sayang Islam akan keluar dari lidah. Zaman langit terbuka utk kebaikan dan juga kejahatan. Orang yg hati sudah ada iman. Mesti ada ikhlas dan cinta pada Allah dan Rasullulah. Ustaz Dr Basit

11.Cari ilmu hari ini dan niat semakin dekat dan mendapat kasih sayang Allah. Cuba kurangkan aktiviti lagha dan melihat keaiban orang lain sebaliknya cari aib diri dan betulkan

12.Jika ada masaalah merayu pada Allah bukan manusia. Hentikan meminta orang lain memberi ketenangan pada kita. Carilah ketenangan itu dgn berusaha mengenal Allah. Menangislah dan renung dgn mata hati segala masaalah kita dan ubah sikap dan perbuatan. Orang yg punya lubuk hati akan berfikir dan melihat kuasa Allah dan hikmah dimana mana.

13.Orang yg suka mengumpat akan muflis di akhirat nanti. Jaga lidah kita hari ini

14.Bila kita jauh dari sunnah, tak baca sirah nabi, tidak amali apa yg diajar, kita rasa jauh. Ini sebab kita jauh dari Allah dan rasul. Jom mujahadah

15.Sifat cinta pada Allah adalah kemuncak hidup kita. Semua umat ku akan masuk syurga kecuali yg tak mahu masuk. Mereka ini ialah yg derhaka pada Allah dan rasul. Letak kasih sayang Allah keutamaan kita.

16.Jika kita suka pada kebaikan tanda -Allah sayang pada kita. Ustaz Roslan. Doa supaya kita cinta pada Allah, sayang pada orang alim dan sayang pada amalan yang mendekatkan diri kita kepada Allah. Manusia yang tidak banyak bermunajat dan berdoa ialah yg bakhil padaNya dan Allah akan bakhil pada nya.

17.Berhati hati dgn sifat inferior superior. Mereka yg rendah harga diri akan berlagak over cari perhatian, buat perkara pelik, cepat marah, selalu nk menang, tak akan mengaku kesilapan, make up berlebihan,pakai keterlaluan utk menutup kurang keyakinan diri. Sama kita audit diri. Orang yg tahu tak bercakap , org yg ada tak tunjuk. Lihat nama difacebook. Jika tidak guna nama asli tanya adakah sebab tidak yakin. Selalunya mereka yg kurang yakin banyak masaalah hidup oleh kerana hubungan dgn orang lain tidak baik, kesihatan tidak baik dan kewangan tidak banyak. Sama refleksi diri. Kalau kasar bahasa kita itulah kita. Bila nama sebenar tak diberi selalunya berani berkata apa saja tanpa tanggung jawab ibarat lempar batu sembunyi tangan.,ambil langkah pertama bertanggung jawab apa yg ditulis. Kalau kita ingin mengkritik lebih baik beri nama sebenar baru beretika. Jom ubah

18.Setiap masaalah dalam minda kita begitu juga solusinya dalam minda kita. So guna minda utk bina kehidupan

19.Memang sifat manusia suka nakrasa dia betul. Bila kita faham ini senang hidup kita. Biar mereka rasa mereka betul , kita setuju aja asal bukan perkara membabitkan syariah dan akidah. Tak rugi kita membenarkan cakap orang. Lagi banyak kita dengar, senyum dan angguk masa bercakap lagi tenang kita rasa

20.Jika kita tidak ada ketenangan dan kebahagiaan jiwa kita tak punya apa apa. Hentikan beli barang branded dan berharga, mula tingkatkan harga diri dengan memberi bukan menerima. Lengkapkan diri dgn ilmu dan buat kebaikan.
21.Tiada orang dapat lihat dari mata kita dan alami kehidupan seperti kita rasa. Oleh itu fahami diri kita dan orang lain

22.Adakah kita mencari solusi atau cari masaalah. Ada manusia yang hidup cari sebab nak marah. KasIhan mereka macam ni. Setiap kali nak marah ambil air minum dan kemam dalam mulut supaya tak boleh bercakap supaya tak keluar kata kesat yang akan disesali

23.Semua guru mulai ajar anak murid supaya mengasihi diri mereka. Ia penting. Kita sibuk ajar matematik dan marah kalau gagal matematik tapi lihat apa imej diri pelajarvkita, setiap kali guru mengutuk atau menghina anak murid mereka telah menempah dosa jariah denagn memasukkan racun dalam minda pelajar dan merendahkan imej diri mereka yg buat mereka lebih nakal dan kurang harga diri. Ini akan membuat mereka tidak menghargai org lain juga

INSPIRASI DARIPADA PROF DR MUHAYA 3


1.Bila ilmu agama meningkat insyaAllah keberanian , kesabaran dan ketenangan meningkat dan sanjungan pada manusia berkurang tetapi takwa kepada Allah bertambah. Jangan kita terlalu suka dan taksub sesama manusia yg lemah tetapi suka dan taksub ajarannya

2.Betulkan persepsi dan keutamaan dalam kehidupan insyaAllah akan berubah kehidupan. kebanyakan manusia bermasaah kerana salah persepsi dan tidak pandai memilih keutamaan

3.Orang yg stress selalunya kerana tidak kuat hubungan dgn Allah dan tidak baik hubungan dgn manusia

4.Semakin usia bertambah kita harus semakin dekat dgn Allah. Orang yg dah mati pun banyak cubaannya. Ujian hanya selesai bila kaki melangkah dala syurga. Orang bijak bukan org yg cerita masaalah difacebook tapi bangun malam dan berdoa pada Allah, insyaAllah akan dapat hidayah selesaikan masaalah. Hentikan mengharap pada manusia. Ustaz Zahazan

5.Amalkan sifat merendah diri. InsyaAllah akan dapat ketenangan

6.Orang luar biasa boleh buat baik pada orang yg buat tak baik padanya- sebaik ukhwah menerima kekurangan sahabat kamu. Ustaz zahazan

7.Hari ini perhatikan sikap kita, hentikan nak label orang dan jaga jgn kita bajet bagus. Tutup kebaikan kita sebanyak mungkin macam mana kita cuba sembunyikan kejahatan. Itulah ikhlas

8.Adakah kita semakin dapat ilmu makin bangga? Sama muhasbah diri. Ustaz zahazan

9.Sama kita perhatikan diri kita hari ini dan hentikan sekejap meihat orang lain. Apa yg kita cakap pada diri dan apa fokus kita. Kita selalu bercakap tentang orang itu mati , kasihan dsb dan rancanagn tv juga fokus pada cara mati dan betapa sedihnya yg ditinggalkan. Apa kata kita fikir apa yang berlaku bila masuk kubur, adakan taman syurga atau kawah neraka. Jika semasa hidup penuh engkar pada Allah kita harus rasa sedih untuk yg meninggal dan renung diri kita apakah nasib kita.

10.Hati yg tenang kerana sentiasa berhubung dgn Allah- ustaz zahazan

11.Memberi nasihat mudah tetapi menerima nasihat payah bagi orang yg ego yg merasa diri sentiasa betul

12.Sesungguhnya dgn mengingati Allah hati akan tenang. Kalau hati tidak tenang tanya diri berapa kali kita ingat Allah

13.Orang Mukmin mesti sentiasa saling menasihati.

14.Tidur awal dan niat akan bangun lebih beriman, takwa, lebih penyayang, lebih sihat lebih bermanafaat. Bayangkan diri kita lebih baik dan bertakwa sebelum tidur

15.Niat datang dari roh kita. Jaga roh kita yg akan berjumpa Allah dgn menjaga niat utk Allah semata mata

16.Manusia akan berbuat apa saja untuk sihat dan sgt takut utk sakit. Apakah tujuan utk sihat. Jika bukan utk mengabdikan diri pada Allah alangkah sia sia hidup ini.

17.Bila kita niat baik insyaAllah akan dapat baik. Apa kah niat kita setiap hari

18.Syurga itu mahal. Tentu sekali kena mujahadah untuk mendapatnya dgn rahmat Allah

19.Bila kita kata payah memang akan payah. Kenapa kata payah nk maafkan dan senang menyimpan dendam. Dimana kita disisi Allah

20.Mulakan setiap hari dengan berfikir yang baik utk, keluarga, masyarakat dan negara. Dalam keluarga tolong seseorang yang merasa rendah diri dengan memberi pujian dan penghargaan. Dalam masyarakat pula kutip sampah yg kita jumpa dan kitar semula sebanyak mungkin. Untuk negara pula doakan mereka yang berkuasa supaya diberi hidayah untuk menjalankan tugas dgn penuh keadilan dan kesejahteraan. Jangan ada komen utk post ini untuk mengutuk sesiapa. Setiap kutukan yang kita lempar akan kembali pada kita semula.

TAHAP IKHLAS KEPADA ALLAH


Amal kebajikan apapun hanyalah laksana patung-patung kosong tanpa roh , tiada ertinya dan tidak bermanafaat sama sekali. Hanya amal ibadah yang mengandungi keikhlasan sahaja diterima oleh Allah SWT di akhirat nanti.

"IKHLAS" mempunyai beberapa tingkatan:

Ikhlasaashul 'Ibaadi.

Maksud ikhlas ini yang terdapat pada sebahagian besar hamba Allah yang melaksanakan amal-amal kebajikan di mana bersih dari dalam hatinya penyakit riya'. Yakni ia beramal bukan mahu menunjuk-nunjuk, bukan ada maksud untuk duniawi seperti mahu dihormati orang atau sebagainya tetapi melakukan amalan dengan mengharapkan balasan pahala dari Allah SWT dan mohon dijauhkan oleh Allah dari segala azab siksa di dunia atau di akhirat. Ikhlas yang begini merupakan keikhlasan tingkat yang terendah dari semua tingkatan keikhlasan.

Ikhlasaashul Muhibbiina.

Keikhasan dalam tingkatan ini adalah di atas nilai keikhlasan Al-'Ibaad. Yang dimaksud dengan keikhlasan Muhibbiin ialah bahawa beramal ibadah itu bukanlah maksudnya kerana mendapatkan pahala Allah dan bukan juga untuk menjauhi dari seksaan dan azab , tetapi tujuan beramal ibadah itu semata-mata untuk membesarkan Allah dan mengagungkanNYA. Sebab itu wali terkenal Rabi'ah Al-'Adawiyah berkata , maksudnya; "Aku tidak menyembah Engkau (ya Allah) kerana takut dari nerakaMU, dan pula tidak menyembah Engkau kerana mengahendaki syurgaMU."

Keikhlasan ditingkatan ini tidak lagi dipengaruhi oleh hawa nafsu untuk dunia atau akhirat. Sekiranya masih lagi mengharapkan kesenangan dan kebahagiaan di hari akhirat maka keikhlasan ini belum mencapai ke tingkatan ikhlasaashul Muhibbiin.

Ikhlasashul 'Aarifiina.

Tingkatan keikhlasan tertinggi, merupakan keihklasan sejati yang tertinggi. Hamba Allah yang beramal diperingkat ini, mereka beramal sudah tidak lagi melihat kepada diri mereka, tetapi tertuju kepada Allah yang maha Esa, baik dalam geraknya ataupun dalam dalam diamnya. Btul-betul merasai pengertian hakiki seperti di dalam kalimat :

" Tidak ada daya dan tidak ada kekuatan melainkan dengan Allah Yang Maha Tinggi lagi yang Maha Agung."

Tujuan beramal di sini semata-mata untuk menghampirkan diri kepada Allah SWT. Bermula Tashihul Iradah (memperbaiki tujuan hati supaya menjurus kepada Allah), meningkat kepada Lillaahi Ta'ala adalah sifat setiap ahli ibadah, tetapi ikhlas ditingkatan ini adalah Billaahi Ta'ala, sifat orang yang beribadah semata-mata menuju Allah.

Beza beramal Lillaahi Ta'ala ialah mendirikan dengan baik hukum-hukum lahiriah, dengan beramal Billaahi Ta'ala ialah mendirikan kebaikan yang terkandung dalam hati yang bersih demi untuk tujuan berhampir kepada Allah. Inilah yang dimaksudkan oleh ulamak sufi:

"Betulkan lah amalan anda dengan ikhlas dan betulkan lah keikhlasan anda dengan melepaskan diri dari daya dan kekuatan (makhluk)."

sumber:maj ilm