27 January 2012

MEMBINA KEKEBALAN REMAJA

Oleh: DR. SIDEK BABA

ADA dua faktor utama yang menyebabkan berlakunya kecelaruan di kalangan remaja. Pertama, proses pendidikan dan yang kedua ialah sumber pengaruh di sekitar remaja.

Mendekati remaja menerusi pendidikan perlu bermula pada awal umur lagi. Jangka waktu yang paling kritikal bagi anak-anak mencapai tahap remaja ialah sejak lahir sehingga ke peringkat akil baligh. Akil baligh merupakan puncak suatu proses membentuk manusia yang sudah boleh berdiri atas kaki sendiri. Di peringkat inilah perkembangan kognitif (akal-fikir) berlaku dengan subur yang membolehkan anak-anak membuat tanggapan terhadap sesuatu.

Pada tahap inilah anak-anak mempunyai kesuburan naluri untuk meniru, mencontohi dan meneladani. Pada tahap ini jugalah berlakunya pertumbuhan psikik atau jiwa serta emosi yang menyebabkan anak-anak membina angan-angan, cita-cita dan impian hari depannya.

Sekiranya pertumbuhan dan kesuburan yang sedang berlaku kepada anak-anak tidak didekati dengan ilmu dan keterampilan menerusi watak keibuan dan kebapaan nescaya pembesaran anak-anak bakal mengalami kelompangan yang mudah dimasuki oleh unsur-unsur negatif. Sebab itu penekanan terhadap kepentingan adab, teladan yang baik, kesantunan, budi bahasa, amalan agama mesti bermula pada peringkat awal lagi dengan mengambil pendekatan ilmu. Ilmulah yang mampu memberi kekuatan kepada anak-anak supaya apabila besar nanti ia tidak menyebabkan lahirnya kecelaruan di kalangan mereka.

Oleh itu keterampilan keibubapaan mesti diajar di sekolah-sekolah dan juga di institusi pengajian tinggi (IPT) kerana tanpa keterampilan keibubapaan, proses mendidik anak-anak dan pembangunan keluarga tidak akan berlaku berasaskan ilmu. Malah ilmu yang diajarkan kepada anak-anak baik di rumah mahupun di sekolah atau IPT mestilah ilmu yang sepadu sifatnya.

Pada asasnya manusia memerlukan dua bentuk ilmu bagi kesempurnaan hidupnya. Pertama, ilmu mengurus diri dan kedua, ilmu mengurus sistem. Ilmu mengurus diri banyak merujuk tentang bagaimana diri dikendalikan dengan bijaksana. Pada diri terdapat nafsu dan hati yang banyak mempengaruhi niat dan tingkah laku manusia. Pembentukan faktor-faktor dalam diri memerlukan pemupukan akidah yang kental, adab yang mulia dan akhlak yang terpuji. Manusia yang berjaya mengurus dirinya adalah manusia yang berada dalam batas nafsu mutmainnah dan hati yang sukakan sifat-sifat mahmudah (terpuji). Pengurusan diri banyak bergantung kepada faktor ini.

Ilmu mengurus sistem merujuk kepada ilmu-ilmu mengenai sains, teknologi, vokasional dan ilmu-ilmu kemanusiaan yang sangat diperlukan oleh manusia bagi mengurus sumber-sumber rahmat yang banyak di sekitar diri manusia. Sekiranya wujud integrasi antara ilmu mengurus diri dan ilmu mengurus sistem, kecelaruan tidak akan timbul kerana apa saja yang manusia lakukan selalu mengambil pertimbangan diri yang insaf tentang tanggungjawab kehambaan dan kekhalifahan sebagai asas pengurusan sekitarnya.

Aspek kedua yang sangat penting bagi mengurangkan kecelaruan kepada remaja ialah wujudnya simbiosis atau keserasian antara apa yang diajar di rumah dan di sekolah diterjemahkan baik dalam masyarakat dan sistem. Pengaruh sekitar dalam konteks masyarakat dan institusinya, sistem dan pendekatan pembangunannya harus selari dengan cita-cita baik keluarga dan pendidik.

Ketika ini banyak masa dibazirkan kerana sesetengah pihak di luar sekolah tidak mengambil kira hasrat pendidik dan ibu bapa terhadap program-program dalam media elektronik dan bahan-bahan dalam media cetak hingga menyebabkan rangsanganrangsangan negatif mudah menjebak jiwa remaja yang kosong dan berada dalam pencarian. Lebih parah lagi pendekatan hiburan dalam bentuk festival tidak menggambarkan kejelasan kegiatan yang mampu mencerminkan nilai-nilai murni hingga menyebabkan remaja terjebak dengannya dan akhirnya wujud kecelaruan selepas itu.

Islam mengambil pendekatan pencegahan lebih baik daripada mengubati. Pencegahan dalam pengertian yang luas ialah usaha-usaha membina dan menyuburkan diri anak-anak dan remaja supaya ada kesediaan yang baik untuk menghadapi zaman dewasa yang cabarannya adalah besar dan lebih kompleks. Sekiranya anak-anak dan remaja dipersiapkan dengan kesedaran, ilmu dan keterampilan yang baik menghadapi zaman dewasanya, pendekatan pencegahan sudah diambil kerana daripada kekuatan diri, ilmu dan akhlak ia bakal menjadi benteng terhadap perkara-perkara yang boleh menimbulkan kecelaruan.

Bayangkan anak-anak bila lahir saja ke dunia kita berikan imunisasi atau kekebalan daripada penyakit measles, hepatitis B atau cacar bagi melindungi jasadnya. Betapa pemikiran anak-anak dan juga emosi serta jiwa anak-anak. Apa bentuk kekebalan yang diberikan untuk menghadapi zaman remaja dan dewasa anak-anak juga mempunyai kekebalan menghadapi pengaruh-pengaruh pemikiran, kebudayaan dan corak hidup yang boleh merosakkan jati diri remaja. Tentunya para remaja sejak awal umur lagi memerlukan input atau pengisian yang serasi dengan proses perkembangan kognitif atau daya fikir dan juga perkembangan efektif atau pembangunan hati dan emosi.

Pada masa kini banyak masa dan sumber kewangan terpaksa disediakan bagi menghadapi kerenah dadah dan AIDS/HIV. Pendekatan yang diambil lebih banyak kepada mengubati penyakit atau masalah. Keadaan yang ada adalah ibarat nasi menjadi bubur. Jumlah yang akan terlibat semakin bertambah sekiranya akar masalahnya tidak diatasi. Akar masalah anak-anak dan remaja ialah kekosongan jiwa dan hati, tandusnya belaian dan didikan ibu bapa, mengalami keciciran di sekolah, suasana sekitarnya terutama rakan sebaya yang tidak membantu dan tarikan-tarikan hiburan untuk mengatasi tekanan dan himpitan menyebabkan mereka terjebak dalam salah laku sosial yang membebankan keluarga, masyarakat dan negara.

Kalau ada pihak yang berpendapat bahawa dengan adanya program-program hiburan yang melampaui nilai-nilai agama dan budaya dalam media elektronik, sajian tulisan-tulisan dan paparan gambar-gambar, soal jawab seksual yang separuh pornografik atau lucah dalam media cetak atas nama kepentingan komersial, bayangkan berapa banyak pula belanja diperlukan bagi mengatasi masalah ketagihan rokok, dadah dan HIV/AIDS yang sedang ditanggung oleh negara kini.

Harus ada pertimbangan yang tulus dan telus bahawa umat Islam kini sedang menghadapi persaingan sengit dalam menentukan survivalnya. Globalisasi yang datang adalah suatu bentuk penjajahan baru yang ingin melakukan proses pembaratan terhadap kita. Ia bermula dengan remaja. Remaja amat mudah terpikat dengan tiga perkara: hiburan, pakaian dan makanan. Pihak Barat menerusi agensi-agensi dagangnya dalam bentuk Transnational Corporation sedang menguasai minda dan minat di kalangan remaja kerana remaja akan merasakan dirinya sebagai moden, maju dan up-to-date. Inilah yang sedang diuar-uarkan kepada mereka. Apabila mereka terpikat dengan tiga perkara ini, kecelaruan akan berterusan dan mereka bukan merupakan aset dalam pembangunan negara yang berasaskan acuan sendiri.

Dalam perubahan dunia yang agak terbuka tidaklah menjadi suatu masalah untuk para remaja memanfaatkan faedah kemajuan dunia yang boleh menyumbang ke arah kemajuan kita sendiri. Syaratnya para remaja harus ada keupayaan menyaring dan menilai secara kritikal dan kreatif terhadap unsur-unsur luar supaya tidak terjebak dengan perangkap perubahan yang boleh merosakkan jati diri dan akhlak para remaja.

Perangkap perubahan secara zahirnya nampak hebat dan canggih. Tetapi para remaja jangan lupa bahawa kadang-kadang perubahan alat dan kecanggihan teknologi tidak semestinya mampu mengekal dan mengembalikan manusia kepada fitrah. Kekuatan kepada alat dan teknologi bergantung kepada keelokan perisian dan program kerana teknologi sering dilihat sebagai alat bukannya matlamat.

Matlamat bagi teknologi ialah setakat mana input, perisian dan programnya mampu memperkasa akal budi remaja dengan menjadikan remaja orang-orang yang bermaklumat, berilmu, terdedah dengan keterampilan yang baik dan akhirnya mendorong remaja untuk cemerlang dalam pendidikan.

BERFIKIR HOLISTIK

Oleh DR. SIDEK BABA

KEHIDUPAN manusia berjalan dalam bentuk sistem. Pada sistem terdapat pula sub-sistem. Pancaindera yang Allah jadikan mempunyai peranan masing-masing. Antara satu dengan lainya saling berkaitan.

Apa yang dilihat, didengar, dihidu, dirasa dan disentuh berkaitan antara satu dengan lain. Dalam diri manusia terdapat akal, hati, nurani dan jasad. Antara satu dengan yang lainnya saling memerlukan. Tanpa salah satu darinya manusia akan jadi pincang.

Kalau diibaratkan tubuh badan, seluruh anggota adalah berkaitan antara satu dengan lain. Sakit salah satu anggota kesannya akan dirasakan oleh seluruh tubuh badan. Hidup juga diibaratkan seperti sebuah kereta. Setiap bahagiannya mempunyai kepentingan dengan yang lain. Sekiranya tayar kereta pecah, kereta tidak boleh berjalan. Oleh itu setiap bahagian darinya adalah saling memerlukan malah saling bergantungan.

Berfikir holistik bermakna berfikir secara menyeluruh. Berfikir secara menyeluruh tidak menyempitkan seseorang dengan hanya melihat satu faktor sebagai sebab terjadi sesuatu. Atau mendapati satu data saja untuk membuat sesuatu kesimpulan. Berfikir holistik membawa kita meneliti, mengkaji dan membuat kesimpulan terhadap sesuatu perkara atau isu berasaskan maklumat dan fakta yang lebih banyak dan menyeluruh.

Ia mampu membimbing seseorang berfikir dengan betul, mencari pendekatan yang tepat dan menghasilkan natijah yang lebih sempurna.

Tradisi Islam adalah tradisi yang holistik. Konsep jemaah membayangkan wujudnya penyertaan yang lebih ramai untuk membina rasa persaudaraan dan ikatan yang lebih kukuh. Pepatah Melayu juga menyebutkan tentang ‘cubit paha kiri, paha kanan terasa’, ‘ibarat aur dengan tebing’, ‘tepuk sebelah tangan tak kan berbunyi’. Semua ini adalah gambaran pentingnya faktor holistik menjadi pedoman kehidupan.

Remaja Islam amat dituntut berfikir secara holistik. Cabaran faham individualisme, kebendaan, hedonisme (berfoya-foya) yang sedang berkembang pada hari ini adalah cabaran terbesar yang sedang mendepani remaja. Para remaja adalah kelompok yang mudah terpengaruh kerana faktor hiburan, kesukaan, berfoya-foya adalah amat semasa dengan jiwa dan emosi remaja. Tanpa berfikir holistik tentang akibat, jalur perjuangan, ketirisan budaya, hilangnya peribadi dan integriti diri, para remaja akan mudah terjebak dengan perangkap kebebasan, hiburan dan tarikan duniawi yang boleh menyebabkan mereka menjadi mangsa terhadap tarikan realiti.

Berfikir holistik bagi remaja tidak semestinya menolak keperluan hiburan, lagu dan juga menikmati kebebasan sebagai remaja. Sebelum melakukan sesuatu, remaja berfikir panjang terlebih dulu tentang baik-buruk dan akibat yang berlaku sekiranya sesuatu itu dilakukan. Sebelum belajar merokok umpamanya, remaja berfikir tentang akibat jangka panjang amalan tersebut terutama tabiat ketagihan yang terlalu sukar untuk di kikis nantinya. Kemudian mengaitkan rokok dengan amalan sesetengah remaja dengan salahguna dadah.

Ia dikaitkan pula dengan kebebasan percampuran lelaki dan perempuan. Kemudian terjebak dengan amalan seks rambang. Kemudian terjebak dengan penyakit AIDS/HIV atau terperangkap di Pusat Serenti dan kemudian bila terlantar di ranjang hospital, perasaan menyesal yang amat sangat mula timbul. Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna. Ibarat nasi sudah menjadi bubur tidak mungkin bertukar menjadi beras semula.

Potensi

Berfikir holistik tidak saja memberi keinsafan kepada remaja tentang pentingnya kekuatan diri dijaga tetapi memikirkan bagaimana potensi diri dapat dibangunkan. Remaja yang insaf tentang untung nasib bangsa dan umatnya akan sentiasa merasakan hidup ini adalah perjuangan. Perjuangan terhadap memajukan bangsa dan umat masih belum selesai. Oleh itu, mensia-siakan zaman remaja dengan amalan yang merosakkan bermakna menambah lagi beban negara dengan masalah sosial yang parah dan menyebabkan potensi yang baik tidak dibangunkan sebaliknya di peringkat awal umur lagi potensi ini telah dirosakkan disebabkan rangsangan berfikir dan membuat keputusan cara ikut-ikutan dan didorong oleh hawa nafsu keremajaan yang tidak terkawal.

Pendekatan yang sering diambil oleh kita dalam menghadapi sesuatu masalah ialah seperti kata pepatah, ‘sudah terhantuk baru terngadah’ bermakna sudah terkena baru ingat. Selalunya pendekatan yang berlaku dalam kalangan sesetengah remaja ialah buat dulu kemudian menyesal. Berfikir holistik ialah fikirkan dulu baru buat maka tidak timbul penyesalan di kemudian hari.

Lihat saja masalah salahguna dadah ,AIDS/HIV yang sedang berlaku dengan dahsyatnya sekarang amat memerlukan pemikiran yang holistik.

Menawarkan penagih tegar kondom, jarum dan metadon tidak boleh menyelesaikan masalah yang berbangkit. Ia mungkin boleh mengawal penggunaan secara sistematik tetapi tidak ada jaminan ia boleh mengatasi masalah yang berbangkit secara berkesan.

Berfikir secara holistik boleh membawa kita berfikir mengenai dua perkara. Pertama, mengenal pasti akar sebab (root-causes) terhadap amalan ini. Kedua, mencari pendekatan terbaik mengatasinya secara jangka pendek dan juga secara jangka panjang. Akar-sebab utama terhadap amalan salahguna dadah berakibat kerosakan cara berfikir, cara meniru yang berlaku di kalangan remaja. Pemikiran remaja telah rosak atau dirosakkan oleh faktor rakan sebaya dan faktor persekitarannya yang amat kuat merangsang ketirisan peribadi dan harga diri. Ia berkait langsung dengan masalah kemuflisan akhlak yang berlaku dalam kalangan remaja.

Berfikir holistik tidak saja melihat akar sebab terjadinya sesuatu itu tetapi mengambil pendekatan bagaimana sesuatu itu dapat diatasi dengan bijaksana dan secara fitrah.

Dalam tradisi Islam pendekatan pencegahan lebih baik daripada mengubati menjadi kaedah yang terbaik dalam membentuk akhlak manusia. Seorang anak yang baru lahir sehingga berumur 12 tahun diberi suntikan kekebalan (imunisasi) supaya tidak dijangkiti penyakit. Ini bermakna langkah pencegahan diambil terlebih dahulu sebelum virus atau penyakit menyerang. Ternyata pendekatan ini mendatangkan kesan.

Tetapi betapa tentang kekebalan minda dan pemikiran anak-anak. Apakah zaman sebelum akil baligh tidak perlu disuntikkan kekebalan yang berbentuk didikan, asuhan, belaian dan kasih sayang supaya anak-anak menjadi remaja secara fitrah, terhindar dari jangkitan virus minda dan pemikiran yang merosakkan. Atau kalau didekati dengan virus minda pun kekebalan akal dan pemikirannya, mampu menjadikan remaja berfikir holistik tentang baik-buruk sesuatu. Apakah zaman menjelang remaja anak-anak tidak perlu dibekalkan dengan kecelikan dan kecerdasan emosi supaya apabila emosinya stabil membolehkan virus emosi dihadapi dengan bijaksana.

Fokus pendidikan Islam sentiasa menekankan kepentingan akhlak dibina. Anak-anak yang sejak kecilnya dibina dengan nilai adab, hormat, malu, sayang dan penyantun bakal menjadi anak-anak yang berbudi. Faktor ini apabila ditambah dengan binaan pemikiran yang sihat berasaskan ilmu yang fitrah sifatnya bakal menjadikan anak-anak yang stabil pemikiran, emosi dan amalannya.

Berfikir holistik dalam konteks pendidikan anak-anak memerlukan langkah pemerkasaan diri tidak saja dengan contoh peribadi teladan tetapi dengan nilai-nilai cemerlang dalam ilmu, keterampilan dan juga amalan.

Berfikir holistik boleh memimpin remaja menjadi orang yang berpandangan jauh, tidak gopoh dalam membuat penilaian dan keputusan, tidak berfikir secara serpihan tetapi melihat sesuatu secara totaliti atau menyeluruh, berfikir secara futuristik dan diimbangi dengan maklumat, data dan fakta yang lebih seimbang. Berfikir secara holistik tidak saja menjadikan remaja seorang yang berhemah tetapi memiliki kualiti sebagai pemimpin masa depan kerana jenis cabaran pada masa depan adalah jauh lebih canggih.

Pembiasaan terhadap pemikiran holistik sejak awal umur boleh memberi kesan baik terhadap remaja kerana apabila menempuh alam dewasa dan menerima tanggungjawab yang pelbagai, berfikir secara holistik boleh memandu seseorang saksama, strategik dan bijaksana dalam mendepani masalah dan menyelesaikannya.